Guardiola pertahan aksi City ketika tumbang kepada Spurs

Pep Guardiola berkata ia merupakan satu “kesilapan besar” untuk mengkritik pemain-pemain Manchester City selepas mereka beraksi ‘cemerlang’ ketika tewas 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Tottenham.

Penyandang juara, City kekal ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool selepas jaringan separuh masa kedua daripada Steven Bergwijn dan Son Heung-min melonjakkan harapan Spurs untuk menamatkan musim dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Oleksandr Zinchenko diarah keluar padang selepas meraih kad kuning kedua sebelum pemain yang membuat penampilan sulung bersama Spurs, Bergwijn, membuka jaringan di Stadium Tottenham Hotspur.

Sepakan penalti Ilkay Gundogan berjaya dinafikan Hugo Lloris selepas City gagal meledak sebarang jaringan sejak empat hari yang lalu apabila tewas 1-0 dalam pertembunangan derbi kepada Manchester United dalam aksi separuh akhir kedua Piala EFL.

Guardiola lama berbincang dengan pemain-pemain dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

“Perlukah saya terlalu kritikal terhadap persembahan perlawanan ini?” kata Guardiola. “Silap besar untuk saya mengatakan City gagal menampilkan permainan yang cemerlang.

“Kami menghasilkan peluang dan dibolosi dua jaringan. Saya sentiasa berasakan permainan yang cemerlang apabila anda telah menghasilkan banyak peluang berbanding pasukan lawan. Saya sentiasa percaya dengan perkara ini, anda semakin hampir untuk memenangi perlawanan.”

Bekas pengendali Barcelona itu berkata lagi, “City telah bermain baik tetapi tewas. Ia berlaku sekali lagi. Mereka memiliki dua percubaan dan menjaringkan dua gol. 

“Perkara ini telah berlaku, ketika berdepan United. Mereka telah menghasilkan peluang yang tidak saya ketahui, beberapa sahaja, kami banyak melakukan percubaan tetapi gagal menjaringkan gol. Kami perlu menerima dan menilai semula perlawanan ini. Sejujurnya, kami telah bermain dengan cemerlang.”


Sumber – Stadium Astro