Chelsea lawan yang sukar – Owen

Owen

LONDON – Bekas penyerang Newcastle United, Michael Owen percaya skuad The Magpies tidak akan diberikan laluan mudah oleh Chelsea ketika berkunjung ke Stamford Bridge dalam aksi Liga Perdana England (EPL) Sabtu ini.

Meskipun masih segar dengan kejayaan menjinakkan Manchester United 1-0 sebelum aksi rehat perlawanan antarabangsa minggu lepas, skuad kendalian Steve Bruce dilihat masih tercari-cari rentak apabila sekadar menghuni tangga ke-16 liga dengan lapan mata, sekali gus ketinggalan enam mata di belakang The Blues yang kini mengutip 14 mata selepas lapan perlawanan.

Keupayaan Chelsea meledak 15 gol setakat ini juga mengundang gerun pasukan lawan, justeru Owen menasihatkan supaya The Magpies kekal berwaspada sepanjang tempoh 90 minit permainan.

“Kemenangan tempoh hari ke atas United di St James Park sememangnya sesuatu yang luar biasa.

“Walaupun saya optimis mereka mampu mengulangi persembahan itu ketika berdepan Chelsea Sabtu ini, harus diingat bahawa pasukan lawan telah memenangi kesemua empat perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal Express.

Owen yang juga penganalisis perlawanan berkata, skuad kendalian Frank Lampard juga kini jauh berbeza berbanding ketika ditewaskan United dalam aksi pembukaan liga sebelum ini.

“Perubahan Chelsea begitu ketara, mereka bukan lagi pasukan yang pernah tewas di Old Trafford,” ujarnya.

Selepas lapan aksi EPL, Newcastle sekadar melakar dua kemenangan, empat seri dan selebihnya tewas dan cuma dibezakan satu mata di depan Everton di zon penyingkiran liga. – Agensi