Aliff Syukri masih sayangkan isteri

KUALA LUMPUR- Jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri tanpa berselindung mengakui masih menyayangi isterinya, Datin Seri Nur Shahida meskipun hubungan pasangan itu dilaporkan berantakan sejak minggu lepas.

Ia rentetan kaspyen terbaharu Aliff di laman Instagramnya iaitu @aliffsyukriterlajaklaris yang memuat naik gambar Nur Shahida dan anak-anak.

“Merekalah segalanya. Terkadang lebih baik sendiri tetapi bahagia,” tulisnya di laman Instagram berkenaan.

Sebelum ini, ibu Aliff, Rozita Ibrahim turut membayangkan hubungan pasangan selebriti itu dilanda badai gara-gara tidak lagi memuat naik gambar bersama-sama di media sosial masing-masing.

Bagaimanapun, segelintir netizen mendakwa ia sekadar sebahagian daripada gimik jutawan kosmetik berkenaan yang dikatakan bakal melancarkan single terbaharu berjudul Coba Bahagia dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Nur Shahida di ruangan komen turut dilihat mempersoalkan tindakan Aliff yang didakwa cuba mengelirukan netizen apabila dikatakan mengubah semula kapsyen asal foto berkenaan.

“Kenapa edit caption? Biarlah satu Malaysia baca,” tulis Nur Shahida.