Bola Sepak : Kerana Ciapan Merapu Di Twitter, Ejen Bekas Pemain Remaja Liverpool Digantung Oleh FA

Ejen kepada bekas penyerang Liverpool, Bobby Duncan telah digantung selama enam bulan oleh Football Association (The FA) kerana melakukan ciapan yang dianggap “merapu” di Twitter.

Melalui ciapan pada Ogos lalu, Saif Rubie menuduh Liverpool membuli secara mental dan memusnahkan kehidupan Duncan.

Duncan menyertai Fiorentina pada September lalu.

Rubie turut menuduh Liverpool memaksa pemain muda itu untuk kekal di kelab Merseyside itu tanpa kerelaan pemain tersebut.

Liverpool menafikan dakwaan tersebut dan berkata dakwaan oleh Rubie tidak mempunya sebarang asas.

Sebagai hukuman, Rubie turut diarahkan untuk mengikuti kelas pendidikan beserta denda sebanyak £10,000.

Duncan menyertai Liverpool dari Manchester City pada 2019, dan telah menjaringkan 32 gol untuk kelab tersebut dalam semua pertandingan peringkat umur Bawah-18 Tahun pada musim lalu.

Duncan adalah pemain antarabangsa Bawah-19 tahun England, dan juga merupakan sepupu kepada bekas kapten dan legenda Liverpool, Steven Gerrard.

Pemain itu meninggalkan Anfield untuk menyertai Florentina pada harga £1.8m.