Azizulhasni Kempunan Pingat Di Glasgow, Gagal Mara Ke Aksi Final Saingan Keirin Elit Lelaki

Foto : The Sun Daily

KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menghadirkan kejutan dengan meraih pingat di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 Glasgow, Scotland tidak kesampaian.

Pelumba yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocket Man’ itu gagal melangkah ke peringkat akhir saingan keirin elit lelaki pada aksi yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.

Datuk Azizulhasni hanya menempatkan diri di tempat kesembilan dalam perlumbaan klasifikasi ketujuh hingga ke-12, sekali gus menamatkan impiannya menambah satu lagi koleksi emas di kejohanan berkenaan selepas berjaya melakukannya pada 2017.

Terdahulu, pelumba berusia 35 tahun itu tidak berdepan masalah di peringkat suku akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Jeffrey Hoogland (Belanda), Shinji Nakano (Jepun) dan Thomas Cornish (Australia).

Emas dalam acara final keirin tersebut diraih Kevin Quintero dari Colombia sekali gus menamatkan penguasaan Harrie Lavreysen dari Belanda yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut.

Matthew Richardson dari Australia membawa pulang perak manakala Shinji Nakano melengkapkan podium di tempat ketiga.