Wanita Antara Tiga Orang Yang Ditahan Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah

Foto : MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Tiga individu ditahan polis termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah melibatkan kerugian sejumlah RM24,000 di sekitar Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua yang berusia antara 29 hingga 43 tahun ditahan pada pukul 2.00 petang di Plaza Tol Sungai Buloh.

“Polis turut merampas sejumlah barangan daripada mereka antaranya satu kotak bertulis Versace mengandungi rantai, beg tangan jenama Coach, sebotol minyak wangi jenama Calvin Klein dan sebatang sepana Gaston berwarna hitam.

“Turut dirampas dua surat pajak gadai, sebatang pemutar skru, satu set kunci Allen dan tiga kunci Allen yang diubah suai,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata penahanan dilakukan susulan polis menerima laporan berkaitan satu kejadian pecah rumah di kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 12.28 tengah hari, 30 Julai lepas.

“Pengadu di dalam laporannya mengatakan semasa tiba di rumah pada 11.30 pagi hari sama mendapati pintu jeriji rumahnya terbuka dan telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM2,700,”katanya.

Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah manakala seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine.

Kesemua suspek direman seminggu bermula 2 Ogos untuk siasatan lanjut.