Kereta Kebal Langgar MPV Di Kota Tinggi, Seorang Wanita Dan Tiga Kanak-Kanak Cedera

Foto : Cikgu Share

JOHOR BAHRU – Seorang wanita dan tiga kanak-kanak cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kota Tinggi, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Deddy Borhan Umaali menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku di jalan mengahala Taman Damai sebelum Punggai.

“Seramai 15 anggota termasuk dari BBP Sungai Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 8.28 malam.

“Wanita yang berusia 54 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia tujuh, lima dan empat tahun menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey.Manakala kereta kebal milik ATM yang dikendalikan dua anggota tentera yang dalam perjalanan balik ke kem Teluk Sepang dipercayai telah berlanggar dengan kenderaan MPV itu,”katanya dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, wanita dan tiga kanak-kanak terbabit tidak tersepit di dalam kenderaan mereka.

Beliau berkata pihaknya bertindak memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa yang mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Sementara dua anggota tentera yang berada di dalam kereta kebal itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.