Warga asing sakan pesta di Port Dickson ditahan

POLIS menahan seramai 24 individu warga asing setelah didapati sakan berpesta di kawasan pantai Port Dickson pada malam tahun baharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, operasi dimulakan pada jam 11 malam sehingga 3 pagi setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Bertindak atas maklumat itu, kita melakukan serbuan di pantai Telok Kemang dan menahan 12 wanita warga Thailand, dua lelaki dan dua wanita Nigeria, empat wanita Filipina, dua wanita Indonesia, seorang lelaki dan seorang wanita Sierra Leone.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pasport sah dan visa sudah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukan hanya tangkapan terhadap warga asing malah pihak berkuasa turut menyita beberapa peralatan shisha dipercayai milik warga asing serta bungkusan plastik memuatkan daun kering disyaki ganja.

“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson,” katanya lagi.

Dalam pada itu, polis turut melakukan serbuan terhadap sebuah pusat karaoke di Bandar Dataran Segar, Lukut berikutan gagal mengawal jumlah pengunjung serta kawalan SOP.

Operasi bersepadu berkenaan turut dibantu Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Pejabat Kesihatan Port Dickson.