Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video tular yang mendakwa warga Indonesia dipukul oleh penyokong bola sepak Malaysia tidak berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata penularan video berkenaan dimuat naik bertujuan untuk menjatuhkan reputasi Malaysia.
“Penyebaran video berkenaan dipercayai dibuat dengan niat untuk memburukkan reputasi Malaysia serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
“Penyebaran video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat negara ini yang berada di Indonesia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Video berdurasi 48 minit itu menunjukkan mangsa didakwa ‘warga Indonesia’ kononnya dipukul ‘penyokong Malaysia’ selepas perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.
Polis sedang meneliti video tersebut termasuk bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.
Perkara itu turut mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan yang telah memfailkan laporan polis agar kesahihan video tersebut dapat disiasat.
Polis turut meminta individu yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.