Serbuan polis berjaya dibuat di dua pesta liar

Sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya membuat serbuan di unit kondominium pada jam 10.30 pagi di Jalan Ampang, semalam.

Menurut laporan Berita Harian, seramai 14 remaja di bawah umur ditahan terdiri daripada enam lelaki dan lapan perempuan.

“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium itu kemudian menemui satu paket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah ketamin.

“Turut ditemui, pil Eramin 5 dan pelbagai pil disyaki dadah jenis ecstasy.

“Polis turut merampas alat pembesar suara dan `laser display system’ yang dipercayai digunakan untuk berhibur di unit kondominium terbabit,” katanya.

Serbuan kedua pula dilakukan di unit berlainan kondominium yang sama pada jam 12.30 tengah hari kerana disyaki menganjurkan pesta liar.

Hasil serbuan kedua, polis menahan dua remaja perempuan bawah umur dan dua pelajar masing-masing seorang lelaki dan perempuan.

“Dalam serbuan berkenaan, polis menemui sejumlah pil ecstasy, ketamin dan air ketum.

“Setakat ini, dipercayai penganjur kedua-dua pesta liar berkenaan adalah antara remaja bawah umur yang ditahan.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.