Perkhidmatan LRT tergendala, wanita ceroboh trek maut digilis

Foto: Traffic Info Crew

SEORANG wanita maut digilis tren LRT selepas berlaku pencerobohan trek sekitar jam 4.45 petang tadi.

Insiden berkenaan telah mengakibatkan perkhidmatan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC melibatkan laluan LRT Ampang / Sri Petaling tergendala.

Sementara itu, Rapid KL menerusi kenyataannya memaklumkan identiti wanita berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Balai Bomba dan Penyelamat dari Sentul, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan anggota Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut berada di lokasi ketika kejadian.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai turut mengesahkan kejadian tersebut.

Bagaimanapun Rapid KL memaklumkan laluan tersebut kini telah beroperasi seperti biasa.

Kenyataan itu juga turut memohon agar orang ramai menghentikan penyebaran gambar insiden bagi menghormati mangsa terlibat.

“Rapid KL memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dilakukan.

“Pihak kami juga sedang memulakan kerja-kerja audit menyeluruh mengenai langkah-langkah keselamatan stesen kami untuk meminimumkan risiko kejadian seperti ini pada masa hadapan,” memetik kenyataan itu.