Ismail Sabri selesai angkat sumpah jawatan PM

ISTIADAT mengangkat sumpah Perdana Menteri ke-9 berlangsung dengan sempurna pada jam 2.30 petang tadi yang berlangsung di Istana Negara.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Upacara penuh bersejarah itu turut dihadiri keluarga Perdana Menteri termasuk beberapa individu dalam kalangan ahli politik serta figura penting negara.

Antara yang kelihatan di dalam Balai Singgahsana Kecil termasuklah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Tidak ketinggalan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut kelihatan berada di Balai Singgahsana Kecil bagi menyaksikan istiadat berkenaan.

Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, kemelut politik terus melanda negara sehingga mengakibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kemelut politik diakhiri dengan segera selain menumpukan isu pandemik dan pemulihan ekonomi.