PM ke-9: Dafi ucap selamat buat papa

PELANTIKAN Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah pasti mendapat reaksi anaknya, Dafi yang juga bintang kelahiran program realiti.

Menurut laporan Astro AWANI, anaknya itu menganggap lantikan tersebut sebagai rezeki buat bapanya atas berkat usaha kerasnya selama ini.

“Saya terlalu gembira buat Papa. Kerja kerasnya serta disiplinnya akhirnya memberikan hasil. Ini semua kejayaan peribadi Papa, saya dan adik-beradik lain serta ibu hanyalah sistem sokongan buatnya.

“Papa tidak akan menjadi Perdana Menteri kalau bukan kerana komitmen luar biasanya pada negara. Saya amat yakin Allah hadirkan rezeki ini buat Papa kerana Papa mampu untuk memikul amanah rakyat,” katanya memetik laporan Astro AWANI.

Melihat kepada tanggungjawab yang harus dipikul bapanya, Dafi menyifatkan ia merupakan insprirasi buat seluruh keluarganya.

Saya mengagumi tahap kesabaran Papa. Saya fikir, Papa berhak mendapat apa yang diperolehnya sekarang kerana dedikasinya.

“Doa saya semoga Allah permudahkan kerja Papa mentadbir negara. Kami keluarganya menyedari Papa mengambil alih negara dalam suasana penuh gelora.

“Namun, berkat pengalaman Papa, saya amat yakin Papa akan dapat mengharungi segala cabaran dan rintangan,” katanya lagi.

Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan untuk melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Keputusan itu dibuat sebaik sahaja beliau menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.