Penumpang ‘cuak’ pintu tren terbuka, Rapid KL mohon maaf

RAPID KL, Prasarana Malaysia Berhad membuat permohonan maaf berhubung isu pintu tren dalam keadaan terbuka selepas bergerak dari Stesen LRT Ara Damansara semalam. 

Kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku apabila tren berkenaan dalam perjalanan menuju ke Stesen LRT Lembah Subang. 

“Insiden itu telah dikenal pasti pusat kawalan operasi dan tren tersebut telah diasingkan sebaik sahaja tiba di Stesen Lembah Subang. 

“Tren berkenaan telah dihantar untuk pemeriksaan segera bagi membuat siasatan lanjut,” katanya menurut kenyataan tersebut. 

Difahamkan jarak antara kedua-dua stesen berkenaan adalah sejauh 900 meter. 

Ketika kejadian, seramai tujuh penumpang dikatakan berada di dalam tren berkenaan bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial memaparkan pintu sebuah tren LRT tidak tertutup ketika sedang bergerak laju yang mengundang situasi cemas ramai pihak.