Langgar SOP lagi, Tajuddin dikompaun tak pakai pelitup muka

AHLI Parlimen Pasir Salak sekali lagi dilihat melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tidak memakai pelitup muka sewaktu di Parlimen.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesalahan itu dilakukan pada 26 Julai sekitar jam 2.30 petang.

“Pada hari yang sama beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama seorang individu lain di ruang legar parlimen.

“Atas pelanggaran SOP tersebut, maka satu notis kompaun dikeluarkan terhadap beliau hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Beh Eng Lai, hasil siasatan mendapati beliau menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat pada tarikh berkenaan.

Sebelum ini, Tajuddin turut dikenakan kompaun berikutan pelanggaran SOP yang dilakukan beliau.

Menerusi perkongsian pengguna di Twitter, tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sekali lagi mengundang kecaman warganet.

Polis dalam masa sama terus mengingatkan orang ramai agar terus patuh kepada SOP khususnya ketika berada di tempat awam.