Orang Ramai Digalakkan Pakai Pelitup Muka Solat Aidilfitri – JHEAIK

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di mana-mana masjid dan surau di seluruh negeri ini pada 1 Syawal nanti.

Pengarahnya, Datuk Abd. Ghani Zainudin berkata, langkah itu dibuat atas nasihat dan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, selaras saranan Kementerian Kesihatan (KKM) demi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan dicegah, lapor Kosmo!

“Covid-19 belum reda sepenuhnya bahkan masih berlaku peningkatan kes di seluruh negara. Dengan mengambil kira situasi terkini, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius semua pihak.

“Apatah lagi kontak sosial akan bertambah apabila umat Islam di seluruh pelusuk negara pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat.

“Sehubungan itu, JHEAIK dengan nasihat dan pandangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat menggalakkan orang ramai agar memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di mana-mana masjid dan surau seluruh Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan agar prihatin dan mengambil langkah sewajarnya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya dan penganjuran rumah terbuka.

“Semoga usaha ini dapat membantu kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus Covid-19 dari merebak.

“Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia dan Kedah dipelihara dari musibah dan dapat meraikan hari raya dengan penuh ketakwaan, sejahtera dan aman damai,” katanya. 

Sumber gambar & laporan – Kosmo! Online