Musibah Nanggala: Istana Negara zahir ucapan takziah

TRAGEDI menyayat hati yang menimpa Kapal Selam KRI Nanggala-402 mendapat perhatian Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan ucapan takziah khususnya terhadap Presiden Indonesia, Joko Widodo serta seluruh rakyat republik itu.

Tidak ketinggalan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

Ucapan itu dibuat menerusi akaun media sosial Istana Negara, Seri Paduka Baginda yang mengharapkan kesemua keluarga mangsa agar tabah menghadapi dugaan ketika bulan mulia ini.

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono turut menerimca ucapan takziah yang disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

KRI Nanggala hilang pada Rabu lalu ketika latihan menembak torpedo.

Beberapa negara termasuk Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat turut menyalurkan bantuan dalam operasi mengesan kapal selam terbabit.