KPM Tegas, Anak Murid Perlu Dilindungi Daripada Jadi ‘Content’ Socmed Guru

Foto: Beautifulnara

KUCHING, 16 September- Satu garis panduan telah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melindungi anak-anak murid daripada menjadi ‘content’ media sosial oleh guru.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya bertegas dalam menangani isu tersebut dan akan perlindungan diberi kepada anak-anak murid.

“Seorang guru perlu mempertahankan indoktrin kebangsaan dan benar-benar menjulang pendidikan negara.

“Kita dalam keadaan kebanjiran idola, kemarau tauladan…adalah besar harapan saya untuk melihat warga pendidik menjadi suri teladan dalam masyarakat.

“Rakyat Malaysia itu adalah refleksi kepada gurunya, guru yang berintegriti, guru yang beradab tinggi dan guru yang berakhlak,”katanya.

Jelas Fadhlina, pendidikan manusiawi itu penting dalam usaha kerajaan hari ini untuk membina Malaysia MADANI dan pada penghujung bulan ini KPM akan mengeluarkan satu garis panduan dalam menangani kes buli, jenayah seksual dan perkauman.

“Kita tidak akan benarkan sesekali berlaku dalam institusi kita…dan guru adalah barisan hadapan bagi memastikan bahawa ketiga-tiga dosa besar ini tidak akan berlaku dalam institusi pendidikan,” katanya.

Fadhlina ditemui pada majlis Sambutan Hari Malaysia di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Kuching.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan memperuntukkan RM150,000 dari KPM kepada IPG tersebut untuk penyelenggaraan kerja-kerja kecil.