KPDN Rampas 7,200 Liter Diesel Seleweng

Gambar : KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dengan kerjasama polis menyita 7,200 liter diesel subsidi menerusi Op Tiris selepas menyerbu sebuah premis di Site C Tanah Merah, Port Dickson, semalam.

Memetik laporan Berita Harian, pengarah KPDN, Muhammad Zahir Mazlan berkata dalam serbuan jam 9 malam, pihaknya turut merampas dua lori, sebuah lori tangki, telefon bimbit serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan itu dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM195,480.

“Pemeriksaan ke atas premis mendapati terdapat dua lelaki tempatan dipercayai pekerja sedang memindahkan diesel bersubsidi dari tangki kepala lori ke tangki lori treler.

“Lelaki berkenaan kemudian ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terbabit dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus menggerakkan penguatkuasaan selain tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel yang mempunyai kepentingan kepada awam.

Sumber Berita Harian