Ketua ajaran sesat PMYT isytihar taubat secara Live!

SEBELUM ini tular mengenai ajaran sesat yang dikenali sebagai ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) menerusi ajarannya yang aktif disiarkan di YouTube.

Namun kini tiada lagi penyebaran ajaran tersebut apabila ketuanya yang dikenali sebagai Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar, 39 tahun membuat pengakuan untuk bertaubat di Majlis Istitabah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang disiarkan secara langsung.

Majlis itu berlangsung dengan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, The News Malaysia melaporkan, wanita berkenaan telah direman polis selepas didapati terlibat dengan penyebaran ajaran dan fahaman sesat.

Menerusi pengakuan tersebut, dia menyatakan hasrat untuk bertaubat itu dilakukan atas kerelaan hatinya dan tiada sebarang paksaan yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Selain itu, dia mengakui wujudnya beberapa kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang berpandukan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Oleh yang demikian, saya menginsafi, menyesali dan berjanji kepada diri saya bahawa saya tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan. Dengan ini saya bertaubat kembali ke pangkal jalan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar,” katanya ketika membuat pengakuan tersebut.

Sebelum ini, ajaran sesat yang dipimpinnya mempunyai 3,000 pengikut selain turut mempunyai 22 kumpulan di aplikasi Telegram.

Pengikut PMYT difahamkan bukan sahaja datang daripada orang kebanyakan sebaliknya turut disertai oleh golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah dan guru.

Ajaran berkenaan mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan akan memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Selain itu, dia turut mendakwa bertemu secara bersemuka dengan Nabi Muhammad SAW serta merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.