Kesalahan Merokok Di Premis Makanan, Kompaun Sebanyak RM7.6 Juta Telah Dikeluarkan Tahun Lalu

Foto : Wikipedia

Sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM7.6 juta dikeluarkan sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurutnya lima negeri merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu Selangor dengan 6,414 notis diikuti Johor (3,095), Pahang (2,935), Perak (2,808) dan Pulau Pinang (2,725).

Beliau berkata bagi tempoh empat bulan pertama pada tahun ini pula, sejumlah 14,872 notis kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM3.72 juta.

“Operasi ini yang dijalankan di kawasan hotspot di seluruh negara mensasarkan tempat larangan seperti premis makan, dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, premis kerajaan, kompleks membeli belah, tandas awam, pusat hiburan, klinik atau hospital serta kawasan rehat dan rawat,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 yang dijalankan di sekitar Ipoh malam tadi.

Mengulas mengenai operasi berkenaan, Dr Norhayati berkata sebanyak 424 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 11 antaranya 202 notis di premis makan, kompleks beli-belah (108), kenderaan awam (34) serta premis kerajaan (28).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat terbabit kepada golongan perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling perokok,” katanya.

Sumber : Harian Metro