Kes Buli Pelatih : TUDM Jalankan Siasatan Dalaman

Gambar : Utusan Malaysia

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes seorang pelatih dibuli di pusat latihan TUDM di Kuantan, Pahang, minggu lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata siasatan dijalankan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa, lapor Berita Harian.

“Kita tidak menerima aduan berhubung kejadian itu sebaliknya aduan dibuat kepada polis.

“Pegawai penyiasat polis sudah masuk ke kawasan pusat latihan TUDM dan menjalankan pemeriksaan. Pada masa ini, siasatan masih lagi berjalan.

“Kita memberi kerjasama penuh kepada polis dan TUDM juga sedang menjalankan siasatan dalaman untuk memastikan kes disiasat dengan teliti,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pertahanan, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, tular di media sosial Twitter mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tentera udara.

Wanita terbabit turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adiknya ketika menjalani latihan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setiap anggota terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam latihan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit, jika didapati bersalah.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mengesahkan pihak menerima laporan berhubung kejadian itu, minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya belum melakukan sebarang tangkapan ke atas mana-mana individu berhubung kes berkenaan.

“Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan dan pegawai penyiasat masih merakamkan keterangan daripada saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber : Berita Harian