Kenal tak sampai sehari di media sosial, terus ‘on’ check in bersama

SEORANG lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat dengan seorang wanita selepas berkenalan tidak sampai 24 jam di sebuah hotel di Kulim, Kedah, pada malam Selasa.

Mereka dipercayai berkenalan melalui aplikasi media sosial sebelum dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), lapor Harian Metro.

Mereka didapati berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel berkenaan pada 10.15 malam.

Lelaki itu ditemukan bersembunyi di bawah katil ketika serbuan dilakukan bagi mengelak dicekup.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki itu dipercayai datang dari Perak kerana mempunyai urusan kerja sebelum bertemu dengan wanita berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki berusia 24 tahun bersama pasangannya gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan pasangan suami isteri atau mahram.

“Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Anwar, pihaknya akan melakukan pemantauan terutama di kawasan hotel yang disyaki menjadi tumpuan pasangan yang tiada ikatan suami isteri atau mahram bagi melempiaskan nafsu di daerah itu.

Sumber: Harian Metro