Protes: Seluruh jabatan polis nekad letak jawatan!

berita-luar-negara

SEMUA letak jawatan! Itu yang terjadi pada pasukan polis Kenly di North Carolina, Amerika Syarikat apabila kesemua anggotanya nekad meletak jawatan tanda protes.

Mereka berbuat demikian setelah pengurus bandar baharu dilantik didakwa mewujudkan “persekitaran kerja yang bermusuhan”.

Ketua Polis Kenly, Josh Gibson pengumuman peletakan jawatan itu di Facebook pada Khamis.

Dia turut memaklumkan penolong pengurus bandar dan kerani kanan turut mengikut jejak beliau bersama lima pegawainya.

“Saya menyerahkan notis dua minggu bersama seluruh jabatan,” tulisnya di Facebook.

Menurut Gibson, pengurus bandar yang dilantik Jun lalu, Justine Jones, membina persekitaran yang membuatkan dia tidak mampu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Gibson menujukan surat peletakan rasmi itu kepada Jones bersama alasan bahawa pasukannya tidak yakin dapat mencapai kemajuan seperti “perkembangan penting” yang dicapai ketika mendepani cabaran yang tidak menentu sebelum ini.

Namun dia menyatakan secara spesifik perihal Jones sebagai penyebab utama mereka meletak jawatan.

Bagaimanapun melalui satu temu ramah, ketua polis itu menjelaskan dia bersedia mempertimbangkan untuk kekal berkhidmat sekiranya Jones berundur.

Bandar itu juga telah mengadakan mesyuarat tergempar secara tertutup selepas kejadian menggemparkan itu.

Sumber: Harian Metro