Jejantas Pejalan Kaki Menghubungkan Komtar JBCC-RTS Akan Dibina

Foto : Utusan Malaysia

Sebuah jejantas pejalan kaki yang menelan kos antara RM10 hingga RM15 juta akan dibina bagi menghubungkan pusat beli-belah Komtar JBCC dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Bukit Chagar, di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek jejantas sepanjang 42 meter berhawa dingin yang dijangka siap pada 2027 itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Al-Salām REIT dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

“Projek ini telah pun bermula tahun ini dan sekarang dalam peringkat pertengahan. Kita jangka siap pada Disember 2026 dengan harapan ia boleh disiapkan sebelum RTS siap.

“Jejantas berkenaan menawarkan laluan yang lancar, selamat dan mudah antara stesen dan pusat beli-belah selain kawasan di sekitar Ibrahim International Business District (IIBD) termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI),” katanya menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut, di sini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad yang juga Pemegang Amanah Al-Salām REIT, Zainudin Suhaimi dan Pengarah Projek RTS Link, MRT Corp., Zulkifli Mohamed.

Mohamad Fazli berharap inisiatif itu akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pejalan kaki, sekali gus mampu merancakkan semula potensi pendapatan Komtar JBCC dan premis di sekitarnya.

Pembinaan kemudahan terswbut dijangka akan meningkatkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah Komtar JBCC.

Inisiatif juga diyakini dapat memacu pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan kadar sewa yang lebih tinggi di pusat beli-belah berkenaan.

Sumber : Utusan Malaysia