Isteri Maut Dan Suami Masuk ICU Selepas Makan Ikan Buntal Yang Dibeli ‘Online’

SEORANG wanita maut, manakala suaminya pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, selepas memakan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata yang mangsa mula mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada 3 petang dan telah dibawa ke hospital oleh anaknya.

“Suami mangsa turut mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.

“Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada 5 petang, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 7 malam, manakala suaminya dirawat di ICU” katanya kepada Harian Metro.

Ling juga berkata, pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal berkenaan dari seorang penjual secara pratempahan melalui Facebook (FB).

Maklumnya, sebaik diterima pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan berasaskan ikan buntal.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.

“Penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.

“Sebanyak 15 kilogram ikan sudah dijual kepada masing-masing empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.

“Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisis.

“Sehingga kini, tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal,” katanya.

“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui,” katanya.

Gambar : Wikipedia | Sumber : Harian Metro