Geng Faiz Tanah Merah Yang Terlibat Dengan Kes Curi Motor Di Sekitar Melaka Telah Dicekup

Foto : Utusan Malaysia

Kes kecurian motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah yang aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini berakhir dengan penangkapan lima lelaki termasuk seorang wanita yang dikenali Geng Faiz Tanah Merah.

Kesemua mereka termasuk seorang remaja berusia antara 13 hingga 40 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan sekitar Tangga Batu, Paya Rumput dan Rembia antara 11.30 pagi hingga 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan membabitkan kehilangan motosikal di Taman Malim Jaya April lalu.

Beliau berkata, kumpulan itu juga dipercayai melakukan jenayah samun melarikan motosikal.

“Hasil laporan dan risikan, polis ke sebuah rumah di Bukit Tempayan dan menahan tiga suspek termasuk wanita.

“Pada awalnya seorang daripada suspek lelaki yang ditahan cuba melarikan diri, namun dia berjaya dicekup dan kesemua mereka kemudian ditahan.

“Dua motosikal dan komponen dibuat turut dirampas,” katanya.

Menurut beliau, penahanan tiga suspek itu membawa kepada tangkapan tiga lagi rakan mereka di tiga lokasi berlainan.

“Siasatan juga mendapati setiap motosikal yang diperoleh akan diubahsuai dan dileraikan untuk dijual serta kegunaan sendiri.

“Semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau membabitkan beberapa kes jenayah antaranya dadah dan curi bagaimanapun suspek remaja tiada rekod,” katanya.

Christopher berkata, tangkapan kumpulan itu berjaya menyelesaikan lapan kes curi termasuk samun motosikal.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 413 KK, Seksyen 379A KK dan Seksyen 414 KK,” katanya.

Sumber : Harian Metro