Selepas Tular Kerana Lawak Keterlaluan, Jocelyn Chia Padam Akaun Instagram, Twitter Dan Facebook Kerana Terima Banyak Kecaman

Foto : Kosmo

Selepas tular video memperlekehkan Malaysia dan menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan lawak, pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia dilihat sudah menyahaktifkan akaun Instagram, Twitter dan Facebook selepas teruk dikecam netizen.

Ketiga-tiga akaun media sosial tidak lagi dapat diakses, tetapi TikTok dan laman webnya masih aktif.

Sebelum ini, Instagram pelawak itu dibanjiri dengan komen mengecam atas tindakannya itu dan ramai yang menyifatkan dia tidak peka dengan sensitiviti terutama terhadap keluarga mangsa tragedi MH370.

Terdahulu, Chia bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.

Difahamkan, Chia yang berusia 39 tahun itu tidak lagi memegang kerakyatan Singapura dan menetap di Amerika Syarikat.

Chia adalah seorang peguam sebelum memilih kerjaya sebagai pelawak.

Baru-baru ini, dia dipilih oleh Buro sebagai pelawak Singapura paling popular.

Chia juga pernah muncul dalam program popular, Howard Stern Channel sebagai pelawak undangan dan pengacara jemputan di MTV.

Dia membuat penampilan sulung komedi berdiri di televisyen dalam program Gotham Comedy Live di AXS TV pada 2019.

Sumber : Harian Metro