Gangguan Seksual: “Ini satu fitnah yang kejam” – Ebit Lew

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew menyifatkan dakwaan gangguan seksual melibatkan dirinya merupakan satu fitnah yang kejam.

Menurutnya, kehadiran beliau ke Bukit Aman bagi memberikan keterangan bagi tujuan siasatan yang berlangsung lebih kurang hampir satu jam.

“Saya dipanggil untuk membantu siasatan sebagai saksi atas pertuduhan atau gosip-gosip di luar sana. Saya hanya membantu siasatan dan serah kepada pihak polis sepenuhnya.

“Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau. Saya reda sahaja dan saya serahkan semuanya kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui media di Bukit Aman, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan tohmahan berkenaan tidak akan mematahkan semangat beliau untuk meneruskan aktiviti kebajikan.

“Saya percaya, hidup ini satu tujuan iaitu untuk Allah sayang.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang mungkin, apa sahaja yang terjadi di luar sana, mungkin (orang ramai) boleh menilai sendiri.

“Saya maafkan semua sekali, siapa sahaja pun.

“Apa yang terjadi ini buatkan saya semakin bersemangat, saya akan teruskan usaha membantu,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau yang ditemani peguamnya keluar dari pintu utama Bukit Aman sekitar jam 2 petang.