KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau adalah hak milik anak tempatan tegas calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Fakrulradzi Mahmud.
Beliau dalam masa sama mengingatkan kepada calon Barisan Nasional (BN), Youzaimi Mohd Yusof bahawa kerusi itu bukan milik kayangan, lapor Astro AWANI.
“DUN Endau adalah milik anak muda Endau dan milik petani, sekian lama dipimpin oleh BN tiada perubahan ysng berlaku terhadap anak muda dan petani.
“Lebih buruk, mereka lebih ditindas dan isu hak milik tanah juga masih belum selesai.
“Kayangan makin kenyang, para petani makin ikat perut,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya lagi, Mersing yang merupakan bandar pelancongan sepatutnya mempunyai potensi namun keadaan prasarananya masih lagi terencat.
Fakrulradzi turut membidas Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abd Latiff Ahmad yang disifatkan tidak berfungsi di kawasan tersebut.
“Mersing merupakan kawasan pelancongan tapi masih mundur, Ahli Parlimen Mersing sendiri tidak memberi manfaat kepada rakyat Mersing,” ujarnya lagi.
Tampil dengan kenyataan tegas, beliau menegur calon BN agak tidak terlalu riak dan perlu berhati-hati untuk menawan kerusi itu.
Dalam pada itu, calon DUN N32 itu juga turut menyentuh mengenai isu pertanian yang sememangnya membelenggu petani tempatan.
Ini termasuk soal kenaikan harga baja, racun, dan dedak yang sememangnya memberi tamparan hebat kepada pemain industri tersebut.
Menerusi kenyataan itu juga, Fakrulradzi yakin mampu memenangi hati pengundi di Endau selain lebih memahami keluhan rakyat di kawasan itu.
Fakrulradzi yang merupakan calon termuda dalam PH bakal berdepan saingan daripada Mohd Youzaimi Yusof (BN), Alwiyah Talib (PN), Mohd Norhisyam Ibrahim (Pejuang), dan juga calon Bebas, Ismail Don.
Sumber: Astro AWANI