Lelaki India menyamar jadi pegawai kanan Kementerian Kesihatan & doktor untuk kahwin 27 kali

DASAR romeo! Seorang lelaki India ditangkap kerana didakwa mengahwini sekurang-kurangnya 27 wanita berada dalam tempoh 43 tahun demi membolot harta isteri-isterinya.

Suspek yang dikenali sebagau Ramesh Chandra Swain,  dari negeri Odisha, di timur India, dituduh menipu puluhan wanita dengan mengahwini mereka dan menyamar sebagai doktor yang berjaya atau pegawai kanan Kementerian Kesihatan India, lapor Kosmo.

Ramesh, 66, hanya mempunyai pendidikan Kelas 10 namun cukup bijak dengan menggunakan dokumen pengenalan diri palsu bagi meyakinkan mangsanya sebelum membolot sejumlah wang dan aset penting daripada mereka.

Lebih mengejutkan, kebanyakan wanita yang dikahwininya sejak sedekad lalu adalah berpendidikan tinggi,  malah terdiri daripada doktor dan akauntan hinggalah peguam Mahkamah Agung.

Lelaki itu berkahwin buat kali pertama pada 1982 dan mempunyai dua anak lelaki serta seorang anak perempuan hasil daripada perkahwinan tersebut.

Sejak itu, dia dipercayai telah menipu hampir 90 wanita lain,  namun hanya sebilangan kecil daripada mereka bersetuju menjadi sebahagian daripada siasatan rasmi.

Ini kerana majoriti yang lain bimbang serta takut akan stigma yang bakal diterima daripada masyarakat.

Penipu yang menggunakan pelbagai nama dan kad identiti palsu itu menyasarkan wanita bujang, kesepian dan meyakinkan mereka untuk memindahkan sejumlah wang dan aset penting ke atas namanya sebelum meninggalkan mereka.

Sumber: Kosmo