Calon PN Endau ‘digasak’ isu lompat parti, Ronald Kiandee yakin pengundi bijak menilai

PERIKATAN Nasional (PN) tidak tergugat dengan sentimen lompat parti yang digunakan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan stigma negatif terhadap calonnya yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, PN tidak terkesan dengan apa jua senjata yang digunakan pihak lawan untuk menjatuhkan parti itu.

“Kita tak boleh nak halang mereka (BN) tapi yakin pengundi Endau dah matang dan mampu bezakan calon yang terbaik untuk kawasan itu.

“Calon juga merupakan mantan wakil rakyat yang telah buktikan peranannya sebelum ini, malah dia juga tanggungjawab sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

“Kita memang tak mampu hentikan pihak lawan daripada menggunakan apa jua sudut serangan untuk lemahkan calon PN, tapi saya yakin pengundi bijak menilai,” katanya ketika hadir Program Jelajah Dialog Agromakanan Pertanian dan Perikanan 2022 di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan itu berkata, PN telah meletakkan calon dari pelbagai latar belakang dan pengalaman untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Jelasnya, barisan pucuk kepimpinan juga telah berusaha keras untuk menempatkan calon yang bersesuaian di setiap kerusi yang dipertandingkan.

“Kita lihat semua kerusi yang kita tanding merupakan misi untuk rebut kemenangan jadi pastinya kita menaruh harapan agar mereka jadi pilihan pengundi.

Calon DUN Endau, Alwiyah Talib dilihat menerima serangan bertubi-tubi berhubung isu lompat parti apabila sebelum ini memenangi kerusi tersebut atas tiket BN.

Beliau kemudian memutuskan untuk menyertai Bersatu selepas beberapa hari meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.