Durian D24 harga ‘Menu Rahmah’ hanya RM4.99. Terjual 600 bungkus sehari!

BARU-baru ini kerajaan telah memperkenalkan konsep ‘Menu Rahmah’, satu konsep jualanl dengan harga RM5 ke bawah.

Selaras dengan seruan kerajaan itu, seorang peniaga durian dari Shah Alam juga mengambil inisiatif sama dengan mengurangkan harga durian yang dijual.

Khairul Fahmy Md Yasin yang merupakan pemilik dan pengusaha gerai Durians Atok, telah memperkenalkan ‘Durian Rahmah’, durian yang dijual dengan harga serendah RM4.99 sebungkus.

Harga murah yang ditawarkan untuk menikmati raja buah ini telah menarik perhatian orang, sehinggakan ada pelanggan yang sanggup datang dari Johor semata-mata untuk membeli durian di gerai Khairul.

Bagaimanapun untuk memastikan semua pelanggan dapat menikmati durian yang ditawarkan, gerai durian yang terletak di Jalan Kebun Kampung Batu 7, Shah Alam itu menetapkan syarat yang setiap pelanggan hanya boleh beli 2 bungkus sahaja.

Campuran durian D24 dan durian kampung dalam tiap bungkus disertai dengan harga yang sangat murah ini telah meraih jualan setinggi 600 bungkus sehari.

Durians Atok yang mula beroperasi pada pukul 2.30 petang ini juga menyediakan hidangan pencuci mulut cendol durian dengan harga hanya RM4.

Sesiapa yang suka durian? Terutamanya yang berada di Shah Alam, bolehlah singgah dan be’Rahmah’ mesra dengan Durians Atok!

Sumber gambar – Facebook Durians Atok | Sumber laporan – New Straits Times