KJ sah jadi DJ…di Hot FM!

BERMULA minggu hadapan, pendengar Hot FM akan dapat mendengar suara ahli politik terkenal Khairy Jamaluddin (KJ) berkumandang di stesen tersebut sebagai seorang penyampai radio.

Stesen radio tersebut telah mengesahkan perkara itu apabila Khairy, yang juga merupakan bekas Menteri Kesihatan menyatakan persetujuannya untuk menyertai segmen pagi, Bekpes Hot.

Stesen yang bernaung di bawah rangkaian Media Prima itu menjelaskan Khairy akan mula bertugas pada 15 Februari dan akan digandingkan dengan Johan, Fara Fauzana dan juga AG.

Sumber gambar – Instagram Khairy Jamaluddin

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Khairy kerana kesanggupannya bekerjasama dengan kami sebagai penyampai Bekpes Hot,” kata Nazri Noran, CEO Audio Media Prima yang juga teruja dengan gabungan yang menjanjikan pendengar sesuatu yang baharu.

“Khairy juga ada berkongsi beberapa idea dengan ‘team’ Bekpes Hot untuk meningkatkan lagi kualiti program pagi tersebut,” Ujarnya memetik laporan Malay Mail.

Sumber gambar – Instagram Hot FM

Sebelum ini, Hot FM pernah menyatakan hasrat mereka melalui surat tawaran bagi Khairy menyertai program pagi yang bersiaran dari pukul 6 hingga 10 pagi itu.

Permohonan itu dibuat setelah Khairy dipecat keahliannya dari UMNO bulan lalu.

Tak sabar nak dengar KJ berbual dan melawak dengan geng Bekpes Hot di Hot FM!

Sumber gambar tajuk artikel – Instagram Khairy Jamaluddin | Sumber laporan – Malay Mail