Derita kanak-kanak OKU, melecur badan disyaki didera

SEORANG kanak-kanak kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian dada, tangan, dan leher serta kesan luka pada peha dipercayai didera  pada Jun lalu.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pada 24 Jun dan kejadian disyaki berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Difahamkan, mangsa telah tinggal di unit tersebut yang juga merupakan pusat asuhan kanak-kanak di bawah pengawasan seorang wanita berusia 28 tahun sejak 14 Julai lalu.

“Mangsa cedera telah dibawa ke hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selain turut disahkan popsitif COVID-19.

“Hasil siasatan pihak polis, unit berkenaan turut didiami enam orang kanak-kanak dan dua daripanya merupakan OKU bagaimanapun mereka tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Saiful Annuar, siasatan kini dibuka Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Setakat ini, polis masih menantikan keterangan saksi-saksi terlibat yang ketika ini masih menjalani kuarantin akibat positif COVID-19.

Polis dalam masa sama akan turut memanggil suspek berusia 28 tahun itu bagi membantu siasatan.