Pakcik ini bawa dua guni duit hasil mengemis nak beli barang kemas, tapi kedai emas tak layan!

SEORANG lelaki tua terpaksa berdepan kesukaran membeli barang kemas buat isteri tercinta hanya kerana mahu membayarnya menggunakan wang tunai, lapor laman berita Tribune News, baru-baru ini.

Kehadiran Januri di dua kedai emas di daerah Ketanggungan, Jawa Tengah telah ditolak oleh pemilik kerana dia mahu membayar barang kemas menggunakan wang dikumpul hasil mengemis dalam dua karung guni yang dipikulnya, lapor Kosmo.

Dia bernasib baik apabila kedai ketiga iaitu Kedai Emas Rama menyambut kehadirannya dan melayan dia dengan baik.

Melalui satu temu bual bersama pemilik kedai, Henky, Januri memikul dua karung guni berisi wang kertas bercampur syiling dan memberitahu mahu membeli barang kemas buat isterinya.

“Dua karung guni itu berisi wang berjumlah 6.5 juta rupiah (RM1,867) dan kami menawarkan seutas rantai emas, sebentuk gelang tangan seberat 10 gram serta lapan gram yang memiliki nilai serupa.

“Pak cik itu sangat gembira kerana ada kedai yang menerima wangnya. Dia memberitahu bahawa dia seorang pengemis dan duit hasil mengemis disimpan untuk membeli hadiah buat isteri,” jelas Rama.

Dedah Rama lagi, kebanyakan kedai emas menolak kehadiran Januri kerana mereka lebih selesa membuat urusan jual beli secara online di musim pandemik covid-19.

sumber: Kosmo