Belanjawan 2023: Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM17.7 bilion

KEMENTERIAN Pertahanan (KEMENTAH) menerima RM17.7 bilion dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan semalam

Sebanyak 4.1 bilion ringgit akan digunakan untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.

Selain daripada usaha mengukuhkan lagi keselamatan negara, perkara seperti aspek kebajikan angkatan bersenjata negara akan terus dipelihara.

Lebih 500 juta ringgit akan disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera. Kerajaan juga akan membina lebih 7 ribu unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur.

Selain itu, kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen peluang untuk meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai.

Cakna kekhuatiran veteran ATM yang menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan selepas umur persaraan, kerajaan bertekad untuk menyediakan pekerjaan dan kemudahan latihan untuk veteran melalui inisiatif seperti Program Kerjaya Kedua Veteran ATM dengan kerjasama LTAT.

Inisiatif ini akan memberi peluang kepada seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini untuk dipadankan dengan peluang pekerjaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan.

Jabatan Hal Ehwal Veteran dan agensi kerajaan lain pula akan bekerjasama menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan untuk menjayakan lagi inisiatif tersebut.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Belanjawan 2023