Lebih 3,000 pegawai perubatan kontrak letak jawatan, tekanan mental jadi salah satu punca!

BERDASARKAN kajian Kementerian Kesihatan, hampir 3,400 dari jumlah keseluruhan 29,548 orang pegawai perubatan kontrak telah meletak jawatan dalam tempoh enam tahun sejak 2017.

“Dalam tahun lalu sahaja, seramai 1,354 (4.58%) daripada keseluruhan jumlah 29,548 orang pegawai telah membuat keputusan terbabit,” kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

“Dalam tempoh 2017 hingga 2022 pula, seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan kontrak sudah meletak jawatan,” tambah beliau lagi.

Menjawab soalan mengenai punca perkara tersebut, beliau menjelaskan bahawa di antara faktor yang dikenalpasti menjadi sebab perletakan jawatan ini ialah kerana pegawai pegawai berkenaan memilih untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun yang mungkin menawarkan gaji lebih menarik, peluang membuka klinik sendiri dan melanjutkan pelajaran.

Selain itu, penghijrahan sesetengah pegawai ke luar negara, atas sebab peribadi atau masalah kesihatan seperti tekanan mental juga menjadi punca perletakan jawatan mereka.

Beliau juga menambah bahawa seramai 2,558 (3.35%) daripada mereka mengalami gejala stress, 3,475 (4.55%) mengalami keresahan dan 2,123 (2.78%) menunjukkan gejala kemurungan.

Sumber gambar – Freepik & Youtube Harian Metro | Sumber laporan – Harian Metro