Budak 12 tahun maut terjatuh dari tingkat 14 hotel

SEORANG kanak-kanak lelaki maut awal pagi tadi setelah dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu, lapor Harian Metro.

Mangsa yang berusia 12 tahun seorang terjatuh dari tingkat 14 ke beranda tingkat lima di hotel berkenaan.

Pihak Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 6.44 pagi.

Jurucakap pihak PGO JBPM Sabah berkata selepas menerima panggilan kecemasan tersebut, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik saja pasukan BBP dan EMRS tiba di lokasi, mangsa ditemukan di beranda tingkat lima, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 bangunan hotel berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian terus menjalankan operasi membawa turun mangsa,” katanya kepada Harian Metro.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber gambar – Jabatan Bomba | Sumber laporan – Harian Metro