Banjir di Terengganu, Gelombang Keempat di Kemaman Dijangka Berlaku

TERENGGANU – Gelombang keempat banjir di Kemaman dijangka berlaku ekoran paras air di beberapa batang sungai utama semakin meningkat susulan hujan lebat yang turun di daerah itu.

Tinjauan RTM di Kampung Padang Kubu dan Kampung Teladas mendapati air Sungai Kemaman dan Sungai Tebak telah mula melimpah dan memasuki kawasan kediaman penduduk.

Tinjauan turut mendapati Jambatan Teladas yang menghubungkan Kampung Teladas dengan Pekan Air Putih ditenggelami air lebih satu meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

Ini menyebabkan kira-kira 200 penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif sejauh lebih empat kilometer.

Tiga buah pusat perpindahan sementara (PPS) iaitu Balai Raya dan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Kubu, dan Dewan Orang Ramai Kampung Teladas telah siap sedia untuk menerima penduduk terjejas banjir sekiranya paras air terus naik.

Sementara itu, di kampung Padang Kubu, seramai 71 penduduk daripada 32 keluarga telah bersedia untuk dipindahkan ekoran kawasan rumah mereka dinaiki air sedalam kira-kira 0.5
meter.

Setiausaha Majlis Perundingan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Kubu, Sudin Muda berkata pihaknya kini sedang memantau paras air Sungai Tebak dan telah bersiap sedia untuk memindahkan penduduk terjejas bagi memastikan keselamatan mereka.

Setakat pukul 6.30 petang jalan yang menghubungkan Pekan Padang Kubu dengan sekolah rendah di kampung berkenaan turut ditenggelami air sedalam hampir 0.5 meter.

Penduduk dari dua kampung berkenaan kini berada dalam keadaan bersiap sedia dan hanya menunggu arahan pihak berkuasa untuk berpindah.