Anggota trafik digantung tugas, iring anak Ahli Parlimen tanpa permohonan rasmi

HANYA disebabkan sebagai seorang anak Ahli Parlimen, tindakan anggota polis yang menjadi juruiring kenderaan individu tersebut menjadi perbualan hangat netizen.

Insiden itu tular menerusi rakaman video yang dikesan di Jalan Bukit Gambar, Georgetown yang menimbulkan tanda tanya berhubung status anak Ahli Parlimen tersebut.

Insiden tular itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan kedua-dua anggota terbabit dilucutkan sementara daripada menjalankan tugasan.

Siasatan awal mendapati tiada sebarang arahan khas yang dikeluarkan pihak PDRM berhubung tindakan mengiringi kenderaan tersebut.

Ujarnya lagi, tindakan itu pada kebiasaannya memerlukan kelulusan permohonan secara rasmi dalam tempoh tujuh hari melainkan waktu kecemasan.

Tegas Mohd Suhaily, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit salah laku bertentangan dengan SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, Mohd Shuhaily memaklumkan individu berusia 20-an yang terbabit dalam video berkenaan juga diminta tampil memberi keterangan.