Doktor pakar buli doktor pelatih di Negeri Sembilan dikesan

Doctor stethoscope photo created by jcomp - www.freepik.com

KERAJAAN Negeri Sembilan telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk memanggil dua doktor pakar yang didakwa terlibat membuli doktor pelatih (HO) di dua hospital di negeri berkenaan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, ia susulan dua laporan berhubung kes berkenaan diterima pihaknya pada bulan Mac dan April lalu, lapor Astro AWANI.

Malah, kejadian yang berlaku menyebabkan salah seorang HO wanita yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah hospital di negeri itu, mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan.

“Memang ada dua laporan kita terima yang mana melibatkan dua HO yang bertugas di dua hospital di dalam negeri ini dan kes ini jelas perlu dipandang serius.

“Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, kes buli ‘junior’ ini tidaklah melibatkan kumpulan senior yang ramai, sebaliknya hanya dua individu yang juga doktor pakar yang bertugas di dua hospital kerajaan yang dikenal pasti,” katanya kepada Astro AWANI.

Katanya lagi, jabatan kesihatan negeri akan menjalankan siasatan mendalam berhubung kejadian ini termasuk mengenal pasti mana-mana individu terlibat.

“Insiden seumpama ini tidak sepatutnya berlaku yang mana saya telah mengarahkan Pengarah Kesihatan untuk menjalankan siasatan dengan telus.

“Mana-mana HO atau petugas kesihatan di negeri ini juga boleh memuat aduan secara terus kepada saya sekiranya mereka menjadi mangsa buli,” katanya lagi.

Sumber: Astro AWANI