80 Lokasi Kegemaran Kaki Ponteng Puasa Di Kedah Dikenalpasti

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah mengenal pasti sebanyak 80 lokasi yang menjadi kegemaran kaki ponteng puasa di seluruh negeri Kedah.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim, pihaknya sudah menggerakkan penguat kuasa untuk melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi terbabit bermula semalam.

“Kita mengadakan operasi pada setiap hari bermula hari ini (semalam) di Kota Setar. Operasi ini diadakan secara bersepadu bersama polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

“Selain itu, kita juga akan membuat serbuan di lokasi tertentu sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo semalam.

Menurut beliau, antara 80 lokasi panas yang menjadi pilihan kaki ponteng puasa di ne­geri ini termasuklah di restoran dan gerai makan.

Gambar : Office Holidays

“Berdasarkan pemerhatian pada tahun-tahun sebelum ini, kaki ponteng terbabit bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, tetapi ramai juga kelompok warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Sewaktu pandemik Co­vid-19, mungkin tidak banyak kes (ponteng puasa) direkodkan kerana kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi sekarang kita percaya ramai yang akan berbuat demikian.

“Kita akan memantau golo­ngan tersebut agar tidak terus mencemarkan kesucian pada bulan Ramadan, ” katanya.

Beliau menambah, tindakan ke atas kaki ponteng puasa dikuatkuasakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014.

“Apabila ditangkap, mereka akan menerima notis untuk ke mahkamah. Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.

“Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara setahun atau ke­dua-duanya.

“Selain itu, penguat kuasa JHEAIK juga akan memberi kaunseling dan nasihat kepada kaki ponteng yang ditahan,” katanya lagi.

Operasi itu juga akan membolehkan penjual diambil tindakan kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan PBT termasuk jika menjual makanan sebelum pukul 3 petang.

Gambar : Majoriti | Sumber : Kosmo