30 pesakit melibatkan dua wad di Hospital Pantai Klang berdepan situasi panik apabila terpaksa dipindahkan akibatkan kebakaran yang tercetus.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, sejumlah 20 kakitangan hospital juga terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pihak bomba mengawal kebakaran.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 semalam sebelum 13 anggotanya bersama jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan dua bilik wad dan telah dikosongkan.
“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal hanya dalam tempoh 10 minit kemudian.
“Operasi ditamatkan pukul 12.57 pagi dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.