“Mummy Jerung nak lalu ni boss!” Mummy Jerung dah jadi penyanyi, bakal lancar single Akulah Jerung Merah

“MUMMY jerung nak lalu ni boss!”. Ini ungkapan ataupun tagline yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila acap kali tular video aksi tarian seorang individu yang juga usahawan kosmetik bersama para pekerjanya.

Sofiaa Marieylla atau lebih terkenal dengan sapaan Mummy Jerung Merah kini menatap satu langkah ke hadapan apabila dilamar sebagai artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

“Saya tak sangka video-video yang saya hasilkan sebelum ini telah menarik minat syarikat gergasi seperti Rocketfuel Entertainment.

“Berada di bawah seliaan syarikat ini bakal membuka peluang baharu untuk saya dalam dunia hiburan apabila berada di bawah satu bumbung bersama artis terkenal lain.

Sofiaa Marieylla ataupun Mummy Jerung Merah kini bergelar artis rakaman.

Selebriti media sosial berasal dari Marang, Terengganu ini juga sedang dalam proses menyiapkan single sulungnya berjudul Akulah Jerung Merah.

“Saya dah mula masuk studio untuk proses rakaman single pertama saya berjudul Akulah Jerung Merah.

“Banyak yang saya telah pelajari, InsyaAllah lagu ini akan dilancarkan dalam masa terdekat. Sama amat berharap agar buah tangan pertama ini mendapat maklum balas positif terutamanya daripada team Jerung Merah Original.

Sofiaa Marieylla sedang giat menjalani proses rakaman single Akulah Jerung Merah.

Dia yang juga usahawan produk kosmetik mendedahkan jualan produknya kini mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna.

Malah dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti menghasilkan video-video promosi bersama para pekerjanya.

“Alhamdulillah jualan produk yang saya usahakan juga makin mendapat sambutan hangat.

“Saya juga tidak akan berhenti melakukan video promosi seperti yang tular sebelum ini biarpun mendapat pelbagai komen daripada pengguna media sosial.