Wanita pura-pura hamil untuk dapatkan cuti bersalin kena dakwa

SEORANG wanita dari Georgia, Amerika Syarikat menerima padah apabila didakwa atas kesalahan memalsukan kehamilan semata-mata bagi mendapatkan cuti bersalin.

Robin Folsom, 43, memberitahu ketua di organisasi dia bekerja, Agensi Pemulihan Vokasional Georgia bahawa dia sedang hamil.

Malah dia juga telah memohon kebenaran untuk cuti bersalin Kosmo.

Namun muslihat Folsom terbongkar apabila beberapa rakan sekerjanya menyedari bahawa kandungan wanita itu kelihatan seperti terpisah daripada perutnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Ketua Inspektor Negeri Georgia, Scott McAfee, siasatan mendapati bahawa pada Mac 2021, seorang rakan sekerja yang memerhatikan perut Folsom menyedari kandungan wanita itu mencurigakan.

Ia membuatkan individu tersebut percaya bahawa Folsom memakai perut hamil palsu.

Wanita itu juga dikatakan membuat helah dengan menceritakan bahawa bapa kepada bayi yang dikandungnya bernama Bran Otmembebwe.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan lelaki itu wujud,” kata McAffee.

Tambah beberapa rakan sekerja Folsom, selepas mengaku telah melahirkan anak, wanita itu ada menghantar gambar-gambar ‘bayinya’ kepada mereka dengan menggunakan wajah bayi yang berbeza.

Folsom turut didakwa dengan tiga kesalahan membuat kenyataan palsu dan satu kesalahan penipuan identiti selepas menerima pendakwaan juri.

Sumber: Kosmo