Wanita hilang 3 tahun ditemui semula di Kelantan, dakwa nikah di Siam dengan lelaki 60-an

GEMPAR beberapa hari lalu apabila seorang wanita yang hilang hampir tiga tahun lalu akhirnya selamat ditemukan di sebuah rumah di Kampung Perupuk, Pasir Mas.

Terbaharu, wanita berusia 26 tahun yang hilang selepas dihantar bapanya menaiki bas ekspres untuk bekerja di Putrajaya itu mendakwa dia sudah berkahwin dengan lelaki berusia 60-an.

Malah dia menjelaskan berada sekitar Kelantan sepanjang tempoh kehilangannya, lapor Berita Harian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata perkara itu dimaklumkan oleh wanita berusia 26 tahun terbabit ketika keterangannya diambil polis.

“Dia mendakwa berkahwin di Thailand hampir tiga tahun lalu, tetapi gagal mengemukakan sijil nikah perkahwinannya di negara berkenaan. Dia turut mendakwa tinggal di beberapa lokasi di Kelantan sebelum ini, termasuk di Kuala Krai dan Pasir Mas sebelum ditemui polis,” katanya ketika dihubungi Berita Harian

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan pasangan warga emas yang tinggal bersama-sama wanita terbabit bagi mengambil keterangan, tetapi sudah menghilangkan diri.

“Pasangan suami isteri berkenaan menghilangkan diri dan kita sedang mengesan kedudukan mereka. Keadaan wanita itu masih belum stabil, belum mampu menceritakan apa yang berlaku terhadapnya selama tempoh kehilangannya. Jadi, kita beri dia ruang sebelum keterangan lanjutnya diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, wanita terbabit ditemukan di sebuah rumah dekat Kampung Perupuk, Pasir Mas, Rabu lalu.

Kehilangannya dilaporkan ahli keluarga di Balai Polis Ketereh pada November 2019, apabila mereka gagal menjejakinya selepas dia dihantar menaiki bas ekspres dari sini untuk ke Putrajaya.

Sumber: Berita Harian