Akibat sesat, warga emas panik termasuk laluan motosikal

KEJADIAN memandu kenderaan di laluan motosikal di negara ini bukan lagi perkara yang dianggap pelik.

Baru-baru ini, wujud lagi satu kes membabitkan seorang pemandu warga emas yang dikesan melakukan perbuatan itu di Lebuhraya Kesas pada 16 Februari lalu.

Difahamkan, warga emas itu telah sesat ketika dalam perjalanan menuju ke rumah anak saudaranya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol, ketika kejadian, pemandu tersebut ingin membuat pusingan u sebelum memasuki simpang motosikal.

“Warga emas berusia 69 tahun sedang buat pusingan u tetapi telah salah masuk ke laluan motosikal.

“Apabila menyedari berada di laluan tersebut, pemandu itu berhenti dan undurkan kenderaan untuk kembali berada di laluan yang betul.

Bagaimanapun insiden tular itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan mendatangkan bahaya.