Syurga buatmu wahai adik Rayan

MUNGKIN bukan nasib yang baik bagi kanak-kanak lelaki Maghribi berusia lima tahun apabila bermalam selama beberapa hari di dalam perigi sejak Selasa lalu.

Adik Rayan Awram bagaimanapun tidak lagi mampu bertahan lama setelah disahkan pergi meninggalkan kita semua.

Misi menyelamat adik Rayan mendapat perhatian dunia ketika orang ramai mengharapkan keajaiban berlaku bagaimanapun Allah lebih menyayangi anak syurga itu.

Berita kematian Rayan Awram itu disahkan Istana Diraja Maghribi semalam.

Menurut laporan media antarabangsa, Raja Maghribi Raja Mohammed VI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya.

Terdahulu, pasukan kecemasan Maghribi dilaporkan berjaya menemui budak lelaki itu di dalam lubang perigi sempit sedalam 32 meter.

Kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh ke dalam perigi berhampiran Kampung Ighran, di wilayah Chefchaouen, pada Selasa malam.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa menjadi tular setelah video kejadian itu distrim secara langsung di seluruh dunia melalui platform media sosial.