IJN benarkan TUN M discaj, berehat di rumah

INSTITUT Jantung Negara (IJN) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan discaj daripada pusat rawatan itu pada jam 8.40 pagi Sabtu.

IJN menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini menerima rawatan di IJN sebelum dibenarkan pulang untuk berehat di rumah.

“Beliau (Tun Dr Mahathir) kini dibenarkan pulang dan berehat di rumah dan akan menjalani rawatan susulan di IJN.

“Tun Dr Mahathir serta Tun Siti Hasmah turut mengucapkan penghargaan buat semua pihak yang mendoakan kesihatannya sepanjang Tun Dr Mahathir menjalani rawatan di IJN,” menurut kenyataan itu.

Tun Dr Mahathir yang berusia 96 tahun itu turut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), IJN atas masalah kesihatan.

Selain itu, beliau turut dikatakan menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

Pada 7 Januari lalu, Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif.